Thursday, October 22, 2015

Tips # Ajar Anak Cerai Lampin / Cerai Pampers

Assalamualaikum wbt.

Kali ini nak kongsi tips nak ajar anak untuk mudah cerai pampers. Saja kongsi pengalaman saya, mana tahu berguna untuk kawan-kawan kan.......


Sebenarnya, bila umur sesuai untuk ajar anak cerai pampers? Pada kebiasaannya, bila anak kita sudah pandai bercakap, pandai memberitahu dan memahami apa yang diajar (perkara yang simple), kita dah boleh mula latih anak untuk cerai pampers. Pengalaman saya dengan anak pertama, umur tiga tahun baru cerai pampers, manakala anak nombor dua, dua tahun setengah dah cerai pampers sepenuhya walaupun diwaktu malam.Sebenarnya, sebagai ibu, orang yang paling dekat dengan anak, kita dah boleh nampak dan kesan kebolehan anak kita kan? Kalau kita nampak anak kita sudah mula boleh memahami dan menerima arahan, memahami apa yang diajar, itu petanda yang anak kita sudah boleh dilatih untuk cerai pampers. 


Kalau diikutkan, sebenarnya, memang tak mudah nak ajar anak cerai pampers ni. Proses ni bukanlah proses yang boleh berlaku secara semulajadi, tetapi ianya proses yang memerlukan latihan.Sebagai ibu bapa (lebih-lebih lagi ibu.......he...he.....), kita memang perlu perkara kat bawah ni kalau nak ajar anak bebas pampers ! :


1. Kena banyak-banyak bersabar dan komited.

Sebagai ibu, dalam proses nak ajar anak cerai pampers ni memang kita perlu banyak-banyak bersabar. Kalau mudah hilang sabar, memang kita mudah give up @ putus asa, alamatnya nanti tak berjayalah matlamat kita nak bagi anak cerai pampers. Lagi satu, kena komited. Maksudnya, kena bersungguh-sungguh, memberikan tenaga dan perhatian terhadap proses ini. Bunyi macam serius kan? Memang kena serius komited, kalau tak, kita pun akan mudah mengalah sebab memang penat nak ajar anak cerai pampers ni, percayalah.....

Kenapa kena banyak-banyak bersabar, biasanya bila kita latih anak cerai pampers ni, kejadian-kejadian seperti ini mesti akan ada berlaku :

- anak terkencing atau terberak didepan kita ketika kita tengah sembahyang
- anak terkencing atau terberak ketika tengah makan
- anak terkencing atas karpet / sofa / tilam 
- anak terkencing ketika di pasaraya, tempat-tempat awam, rumah orang lain

Banyak-banyaklah bersabar bila menghadapi situasi macam...he...he..



2. Jaga emosi - jangan marah anak.

Pengalaman saya dengan anak saya, kalau saya memarahi anak saya kalau anak terkencing atau terberak dilantai, kejadian tu mesti akan berulang lagi. Ia seolah-olah anak saya memprotes perbuatan saya. Tapi memang betul, anak -anak saya memang cakap kat saya macam ni "penatlah ibu macam ni, asyik nak kebilik air. Kencing berak dalam pampers kan senang, tak payah pegi bilik air " . Mula-mula saya dengar anak saya cakap macam tu memang terkejut dan tak percaya, tapi kelakar pun ada jugak.

Anak-anak umur 2 - 3 tahun ni kan kerap kencing dan berak. Berulang-alik kebilik air mungkin buat mereka penat sebab tak biasa. Akhirnya, saya mengambil kaedah memujuk dan memuji mereka, ini lebih berkesan dari memarahi. Psikologi sebagai manusia biasa kan, lebih mudah menerima pujian berbanding dimarahi. Pujuk dia untuk kencing dan berak kat bilik air -  "aira kan dah besar, aira budak pandai kan, pandai kencing / berak pun kat bilik air dah, bagus sangat" 

Tapi terpulang kan, ada sesetengah anak-anak tu mungkin kaedah yang lebih tegas mungkin lebih berkesan. Terpulang pada cara masing-masing. Tapi elakkanlah memarahi anak secara melampau, namanya pun masih belajar kan.



3. Kena Konsistent

Proses mengajar ni kenalah konsistent. Barulah anak faham, yang dia mesti belajar untuk tidak lagi memakai pampers. Kalau hari ni diajar, esok tak, minggu depan pulak ajar, nanti anak-anak jadi keliru pulak. Kalau secara berterusan, cepatlah anak dapat belajar dan cepatlah pandai. Walaupun secara perlahan-lahan, tapi istiqamahlah, dan elakkan terlalu menekan.





Ini antara tips atau petua yang boleh diambil ketika melatih anak untuk cerai pampers:


1. Latih anak secara berperingkat-peringkat

Untuk permulaan, latihlah anak untuk belajar tak pakai pampers, kencing atau berak dibilik air untuk separuh hari sahaja untuk hari pertama. Hari kedua, latih sampai petang. Hari ketiga, barulah latih sampai kemalam. Tapi pada peringkat ni, saya masih pakaikan pampers ketika anak tidur. Bila anak dah pandai kencing / berak dibilik air ketika mereka jaga, baru saya ajar mereka untuk tidak pakai pampers ketika tidur. Berperingkat itu bagi saya lebih mudah. Sebab bagi saya, bila mereka sudah pandai mengawal kencing /berak ketika jaga, risiko untuk terkencing ketika tidur tu akan kurang. 

Tips  - untuk elak anak kencing ditilam ketika tidur, minta mereka untuk kencing sebelum tidur, atau kejut mereka untuk bangun kencing. 

Melatih anak pada peringkat permulaan ni, memang sukar. Kadang-kadang rasa nak putus asa pun ada..hehe...banyak-banyaklah bersabar ye.



2. Bagi lebih tumpuan pada anak, kerap bertanya  

Pada peringkat permulaan ni, memang kita kena banyak bagi perhatian pada anak. Saya biasanya setiap satu jam bawak anak pegi bilik air dan minta dia kencing. Langkah ni nak ajar dia biasakan diri pergi bilik air je dulu. Kadang-kadang tu kencingnya hanya keluar sedikit, atau tak kencing langsung. Tapi langkah ni buat anak faham, bila nak kencing, kena kencing kat bilik air. Tapi memang biasa akan terjadi, anak akan terkencing dan terberak diatas lantai. Jadi, bila berlaku macam tu, cakap kat anak, kenapa kencing / berak kat sini. tak boleh macam ni. kalau nak kencing / berak, mestilah kat bilik air.

Anak-anak apabila bermain, biasanya mereka akan terleka sehingga terkencing dan terberak. jadi, kita haruslah kerap bertanya, sama ada anak nak kencing atau ajak mereka kebilik air untuk kencing. Pada peringkat permulaan ni, memang anak-anak masih belum pandai mengawal kencing / berak mereka lagi. Jadi kita memang kena tanya mereka sama ada nak kencing atau berak.



3. Puji anak 

Puji anak setiap kali dia berjaya kencing atau berak kat bilik air. wah, baguslah aira, dah pandai kencing kat bilik air......pandainya.......aira hebatlah (walaupun kita rasa kelakar dan nak gelak, tapi anak mesti tersenyum bila dengar kita cakap macam ni). 




4. Bagi anak hadiah, benda yang anak suka apabila berjaya dalam latihan. 

Cakap dekat anak, ok, hari ni, kalau aira berjaya tak pakai pampers, ibu akan beli aiskrim yang aira suka tu. Yang ni antara taktik saya yang paling berkesan, sebab anak-anak saya jarang-jarang dapat makan aiskrim pada masa umur diorang ni, dan aiskrim adalah benda yang paling diorang suka time tu.



5. Elakkan guna karpet. Kosongkan lantai.

Pada peringkat permulaan melatih anak cerai pampers ni, elakkanlah guna karpet atau kosongkanlah lantai supaya mudah kita mencuci dan mengemop lantai sekiranya anak terkencing atau terberak. kalau tidak, jenuhlah kita nak mencuci karpet kan.




6. Bawa pakaian spare @ ganti ketika keluar membeli-belah atau bertandang kerumah orang lain

Bila nak pergi membeli-belah atau bertandang kerumah kawan-kawan atau kaum keluarga tu, bawalah pakaian spare anak. Sekiranya mereka terkencing didalam seluar, masih ada pakaian ganti.




Inilah sedikit sebanyak perkongsian saya, hasil dari pengalaman saya mengajar puteri-puteri saya untuk bebas pampers. Sekarang ni tinggal siputera, yang berumur setahun empat bulan tu yang masih memakai pampers. Tunggu dia punya turn pulak, tak tau la macamana la pulak kerenahnya....





Bebas pampers ni, disamping dapat berjimat cermat tak payah beli pampers lagi, bagus untuk anak jugak kan, lebih selesa dan takdelah masalah ruam-ruam.

Sekarang ni pun masih ada lagi insiden-insiden kencing ditilam walaupun sikakak dah berumur 5 tahun, tapi itulah lumrah bergelar ibu bapa kan........ 

Moga Allah sentiasa mempermudahkan urusan kita untuk menjadi IBU BAPA TERBAIK DAN DIREDHAI ALLAH.........aamiin........

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Suka Fesyen Muslimah Terkini? Jom Shopping Sini! (Klik Gambar)

Baju Muslimah